Di antara peristiwa yang berlaku pada 10
Muharram ialah selamatnya Nabi Musa dan Bani Israel dari Firaun dan
tenggelamnya Firaun dan bala tenteranya dalam Laut Merah.Ayat 50 surah
al-Baqarah menceritakan hal ini dan hadis Nabi menerangkannya.
Saintis Barat mengemukakan teori angin
bertiup yang membelah Laut Merah untuk Nabi Musa (lihat youtube). Mereka
mengkaji tetapi mereka tidak beriman sepenuhnya dengan ajaran Musa itu
sendiri. Di antara ajarannya ialah apabila tiba Nabi akhir
zaman-Ahmad/Muhammad, maka berimanlah dengannya tetapi itu tidak
berlaku. Saintis Barat hanya menjadi seperti Yahudi yang berpuasa pada
10 Muharram meraikan Nabi Musa tetapi menolak ajaran Taurat lain.
Apa beda dengan umat Islam yang
berpuasa sunat pada hari Asyura atau membuat bubur asyura malah
mempertandingkannya seperti di Kemaman tetapi menolak ajaran al-Quran
selain puasa?
Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibn
Abbas bahawa Nabi SAW tiba di Madinah. Baginda mendapati Yahudi berpuasa
pada hari Asyura (10 Muharram). Baginda bertanya; ‘Hari apa yang kamu
puasa ini?’
Jawab Yahudi: ‘Hari ini hari mulia.
Allah menyelamatkan padanya Musa dan kaumnya, serta menenggelamkan
Firaun dan kaumnya. Lalu Musa berpuasa pada hari Aasyura sebagai tanda
syukur. Lalu kami berpuasa padanya.’ Sabda Nabi SAW : ‘Kami lebih berhak
dan utama dengan Musa daripada kamu.’ Nabi berpuasa dan memerintahkan
para Sahabat berpuasa juga. At-Tirmizi berkata:
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa
Baginda bersabda: ‘Puasalah hari ke 9 dan 10, serta jangan sama dengan
Yahudi’. Hadis ini menjadi hujjah bagi Imam Shafie, Ahmad bin Hanbal dan
Ishak. (Tafsir al-Munir j1 ms 163)
Hadis tentang Yahudi di atas ada
perbahasannya seperti yang disebut oleh Imam Nawawi dalam syarah
hadisnya. Yang penting ialah berpuasa sunat atau membuat bubur asyura
dalam keadaan sedar dengan apa yang dibuat dan menghayati Islam secara
syumul, bukan hanya buburnya. Demikian juga mukjizat Nabi Musa as yang
mendahului bukti saintifik. Kita membenarkan mukjizatnya walaupun tiada
bukti saintifik.